Majalah Ujang adakah satu majalah lawak pertama yang says kenali. Saya masih bersekolah rendah ketika majalah ini dihidangkan pada saya.
Paklang says memiliki banyak majalah tersebut dan dialah yang memulakan minat saya terhadap majalah itu. Saya tak pernah membeli majalah ini, hanya membaca edisi-edisi lama. Biasalah, kecil-kecil, duit sekolah yang disimpan digunakan untuk membeli benda-benda merapu.
Sekarang saya sudah meningkat dewasa. Teringat kembali kenangan-kenangan saya dahulu bersama majalah Ujang. Apabila pulang ke kampung, saya sering mengambil majalah Ujang daripada paklang dalam kuantiti yang banyak dan bawa pulang ke rumah. Dan apabila pulang lagi ke kampung, saya akan memulangkan majalah yang telah dipinjam dan mengambil edisi lain pula. Bukan hanya majalah Ujang, malah Gila-Gila dan Apo? juga sayS ambil.
Saya sukakan lawak sederhananya yang ayat kadang-kadang *hampeh *dan itu salah satu sumber saya menyakat kawan-kawan. Mengingatkan lawak-lawak sekarang yang lebih moden, saya merasa amat rindu pada lawak-lawak yang dihidangkan di dalam majalah Ujang, Gila-Gila serta Apo? yang mana lawaknya kebanyakan berlatarbelakangkan suasana kampung atau suasana yang harmoni. Ayat-ayat yang digunakan juga tidak terlalu berat untuk diterima oleh fikiran.
Selain itu, selalunya akan terdapat beberapa slot yang diisi dengan fakta-fakta pelik dan juga bahagian keagamaan. Saya masih ingat karikatur yang wujud dalam majalah tersebut di mana menceritakan tentang perjalanan kehidupan seseorang kartunis yang akhirnya akan memberikan moral keagamaan. Saya sudah terlupa tajuk slot berkenaan namun saya masih ingat lukisan watak berkenaan.
Ada satu slot lukisan kartun yang memaparkan kisah budak penghantar yang sering meminta rm2 daripada bosnya. Mat Despatch tak silap saya tajuk bahagian tersebut. Boleh kata saya masih ingat semua bahagian-bahagian kartun lukisan yang wujud di dalam majalah tersebut, cuma saya lupa tajuknya. Dengan Tok Mohnya, karakter yang sering memakai topi keledar, Kordi dan lembu, dan banyak lagi, saya masih ingat walaupun telah bertahun tidak melihat wajah majalah tersebut.
Saya amat meminati majalah tersebut hinggakan saya mengumpulkan semua emel yang dapat saya temukan di dalam komik tersebut. Berlaku pada zaman sekolah menengah saya di mana platform Yahoo Messenger adalah satu platform sosial yang amat popular. Saya menambah mereka ke kenalan dan tiap-tiap malam saya akan bersembang dengan mereka. Ternyata mereka bukan hanya mempunyai lukisan cerita yang bagus, malah personaliti mereka juga begitu. Bagaikan membaca majalah Ujang, saya kadangkala tertawa kerana kelucuan kartunis-kartunis tersebut. Dan sudah tentu Pak Cik Din menjadi bahan tawaan kami ????. Mereka dapat menerima pemikiran dan jenaka-jenaka saya walaupun mereka sedang mencari idea untuk melukis kartun.
Saya tidak tahu samaada masih wujud majalah ini. Apapun saya harapkan yang terbaik buat mereka.
Saya tak akan melupakan majalah-majalah ini. Terima kasih kerana telah menghiasi zaman kanak-kanak dan remaja saya.