Menu Close

Highway Group Resources

Di sini saya cuma akan membongkarkan sedikit maklumat yang menimbulkan keraguan mengenai Skim Highway Group yang mana belum didedahkan oleh sesiapa. Jangan biarkan diri anda tertipu dengan syarikat atau individu yang menjalankan perniagaan ini!

Highway Group Resources

Terpanggil saya menulis di sini kerana Skim Highway Group Resources menjadi agak hangat di kawasan tempat tinggal saya. Saya telah membuat sedikit penyelidikan yang mana akan saya paparkan, dengan harapan para pembaca fikir semasak-masaknya sebelum memulakan pelaburan di dalam skim ini, atau seumpamanya.

Highway Group Resources, Highway Global Resources, HighwayGroup, HighwayGroup2U, Galaxy4us adalah antara nama yang digunakan dalam aktiviti mereka. Saya agak keliru kerana mereka tidak mempunyai satu nama yang tetap bagi aktiviti perniagaan mereka. Walaupun mempunyai beberapa nama yang hampir sama, mereka masih mempunyai kaitan antara satu sama lain yang yang membuatkan saya percaya mereka adalah organisasi yang sama.

Saya tidak akan menceritakan sejarah dan asal usul mereka kerana saya tidak menemui sumber khusus mengenai mereka, tambahan pula itu bukanlah tujuan utama saya menulis artikel ini. Saya juga tidak mencuba sepenuh usaha kerana saya tahu saya akan cuma membazirkan masa. Apa yang boleh saya katakan, mereka ini masih baharu. Laman sesawang mereka iaitu http://highwaygroup2u.com telah didaftarkan pada 3 April 2015, namun laman facebook mereka iaitu https://www.facebook.com/Highwaygroup2u-The-Best-419810411503715/ telah mempunyai aktiviti sejak penghujung tahun 2014. Ini bermakna, aktiviti mereka diatas nama Highway Group Resources masih baharu. Anda boleh lihat sedikit screenshot di http://imgur.com/a/dkFb5 sekiranya anda tidak dapat mengakses fanpage mereka. Pada gambar pertama, jelas mereka mempamerkan laman web http://highwaygroup2u.com sebagai laman rasmi mereka. Namun, mereka tidak langsung melengkapkan laman sesawang mereka yang mana saya mengesyaki laman tersebut dikendali oleh orang yang tak bertauliah atau mungkin mereka tidak mempunyai komitmen tentang perniagaan mereka!! Anda boleh menyemak sejarah laman sesawang mereka di archive.org. Daripada sejarah laman sesawang mereka, jelas menunjukkan laman mereka telah diubah beberapa kali, namun tidak pernah dilengkapkan.
Selain itu, saya mengesyaki sesuatu kerana laman web tersebut sudah ditutup walaupun domain tersebut aktif sehingga 3 April 2016. Bukti ini boleh disemak di who.is. Persoalannya di sini, mengapa laman tersebut ditutup walaupun perniagaan mereka masih aktif? Ini kerana mereka sebenarnya sudah membuka laman sesawang yang lain, yang mana mungkin untuk mengaburi sesetengah pihak.

Bagi anda yang masih tidak tahu, Bank Negara Malaysia menyediakan senarai syarikat dan laman sesawang yang beroperasi tanpa kebenaran dan menyalahi undang-undang negara. Anda boleh rujuk laman Rasmi Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan senarai terbaharu.
Anda boleh mencari “Highway Group Resources” pada senarai tersebut, dan anda boleh menemui beberapa laman sesawang disertakan yang mana itu adalah milik mereka. Saya telah mencuba ketiga-tiga laman sesawang tersebut namun cuma satu sahaja laman yang masih aktif, dan penemuan ini amat mengejutkan kerana laman tersebut menggunakan nama yang lain!
Galaxy4us adalah nama bagi laman sesawang mereka yang baharu tersebut iaitu http://www.highwayrichclub.com. Domain tersebut didaftarkan pada 5 November 2015 yang mana saya yakin adalah antara waktu terdekat laman sesawang lama mereka, http://highwaygroup2u.com itu ditutup. Mengapa mereka perlu berselindung di sebalik beberapa nama dan laman sesawang yang berbeza sekiranya mereka mempunyai aktiviti perniagaan yang sah?

Kesimpulannya di sini, Highway Group Resources adalah satu perniagaan tidak berlesen dan juga tidak sah dari segi undang-undang negara yang mana dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia sendiri. Highway Group Resources mempunyai gerak-geri yang mencurigakan dan tidak langsung membuktikan mereka ini adalah organisasi yang berdedikasi dalam menjalankan aktiviti seperti ini.
Di sini saya ringkaskan mengapa anda tidak perlu yakin terhadap perniagaan mereka:

  1. Menggunakan beberapa nama bagi menjalankan aktiviti mereka walaupun masih baharu memulakan aktiviti mereka.
  2. Pernah mempunyai laman sesawang yang tidak pernah dilengkapkan setelah sekian lama.
  3. Mematikan laman sesawang mereka yang lama dan membina laman sesawang yang baharu dengan nama yang lain.
  4. Bank Negara Malaysia menyatakan mereka adalah sebuah organisasi yang menjalankan aktiviti tidak berlesen dan salah dari segi undang-undang.

Bagi anda yang masih mahu meneruskan pelaburan anda, nasihat saya, berhati-hati dan jangan terlalu taksub kerana sudah terlalu banyak kes penipuan melibatkan aktiviti seperti ini berlaku.

0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x